Friday, February 11, 2005

 

Novel satira : Kawin-Kawin

Dalam novel karya Azizi Haji Abdullah,Kawin-Kawin - diterangkan secara nyata tentang kelemahan watak utama yang bernama Malang. Malang tersangat ingin berkahwin mut'ah dengan Mas Umm tetapi Muallim terlebih dahulu telah merembat Mas Umm. Malang dan kuncu-kuncunya memang selalu fitnah sana dan firnah sini hingga menjadi satu budaya dalam persekitaran politik Mas Umm. Untuk menguasai banglo milik Mas Umm caci maki , firnah dan pijak-memijak kepala menjadi amalan biasa.
Semua perkahwinan dengan janda bernama Mas Umm adalah secara mut'ah. Mut'ah adakah adat perkahwinan yang diamalkan oleh Syiah. Maksudnya boleh berkahwin sekejap dengan seseorang untuk melepaskan hawa nafsu dalam tempoh tertentu. Contohnya menikmati keseronokan berkahwin selama seminggu, sebulan, setahu dan sebagainya. Novel ini adalah novel satira yang sungguh mengasyikkan. Mas Umm dirujuk sebagai banglo UMNO. Semua orang ingin menguasai banglo itu kerana jika berada di situ, segala kemudahan dan kekayaan yang ada di dalamnya boleh difaraidkan untuk diri sendiri. Mas Umm sebagai seorang perempuan tidak ada kuasa. Dia lebih suka menyerahkan pengurusan banglo itu kepada suami yang dinikahinya secara mut'ah.
Malang mungkin merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin parti Semangat 46. Malang duduk di sebuah rumah yang berkeluasan 46 X 46. Muallim merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad yang enggan melepaskan banglo Mas Umm. Dia ingin menguasai Mas Umm dan banglo tersebut secara terus-terusan . Cara Muallim berkuasa cukup licik . Tokoh-tokoh sebelum juga mempunyai rekod yang tidak cukup baik.
Teman rapat Malang ialah Pak Wan. Pak Wan bolehlah dirujuk sebagai Tan Seri Rais Yatim. Pak Wan akhirnya telah membakar titi jambatan. Dia kemudian merajuk bila kalah dalam pertandingan untuk menguasai dan menduduki banglo Mas Umm . Pak Wan telah ke seberang laut dan menuntut ilmu pondok.
Buku rujukan utama mereka ialah Asraya iaitu sebuah perlembagaan negara dengan segala indang-undang ciptaan dunia. Buku ini dikarang oleh seorang yang cukup asing iaitu Dr Demo . Pakar rujuk mereka ialah Syeikh Hajjul Fatawa. Tetapi Hajjul Fatawa tidak punya kuasa apa-apa. Apa yang penting baginya ialah menjaga periuk nasi sahaja. dia akan mengubah nasihat dan hukum mengikut siapa yang mengusai Mas Umm. Hajjul Fatawa ini mungkin merujuk kepada Peguam negara atau para ulama kerajaan di Malaysia.
Akhirnya Malang telah berguru dengan Syeikh Yazan di negeri Seri Menurra. Syeikh Yazan ini dirujuk sebagai Tuan Guru Haji Nik Aziz bin Nik Mat. Tok guru ini digambarkan sebagai selekeh tapi berpegang teguh kepada prinsip membangun bersama Islam. Seri Menurra telah bertaubat dan mengamalkan cara hidup Islam yang syumul. Seri Menurra dirujuk kepada negeri Kelantan Daul Naim.
SYEIKH YAZAN DAN NIK AZIZ
Baru-baru ini Nik Aziz menyatakan dia tidak dapat menerima Islam Hadhari karangan dan ciptaan Pak Lah. Nik Aziz hanya dapat menerima Islam tulen sebagaimana yang dicanangkan oleh PAS di Kelantan. Hanya PAS di Kelantan dapat membangunkan ummah mengikut tatacara dan prinsip Islam yang betul sehingga masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di sana dapat menerimanya.
Akhir-akhir ini Nik Aziz sering keluar masuk hospital lantaran penyakit tekanan darah tinggi. Ahli Parlimen UMNO , Nik Min menyeru Nik Aziz meletakkan jawatan kerana dia telah tersangat uzur. Tapi Nik Aziz enggan meletakkan jawatan kerana perjuangannya belum selesai dan mahu memegang jawatan itu sehingga akhir hayat. Itulah dilaporkan dalam surat khabar perdana.
Pak Lah berkata , jika Islam Hadhari dilihat secara jujur dan ikhlas, ia bermaksud tamadun Islam atau Islam yang bertamadun. Dalam erti kata Islam yang mementingkan pembangunan dan sangat progresif.
Dahulu Anwar Ibrahim mencanangkan Islam Madani tapi kini slogan itu telah hilang dari bumi Malaysia dan kalau boleh dilupakan terus daripada pemikiran orang Melayu. Simpang malaikat 44 jika menyebut nama Anwar Ibrahim dan segala biji butirnya.
Bagi mencapai msyarakat Malaysia terutama masyarakat Melayu yang berbudi bahasa, hendaklah ditekankan oleh soal Islam . Nik Aziz sekali lagi mahu setiap umat Islam diingatkan tentang syurga dan neraka.Tidak cukup pelajar atau pesalah dingatkan tentang berdosa dan bersalah atau didenda sahaja. Mereka perlu dingatkan tentang syurga dan neraka. Sesungguhnya hidup di dunia ini akan berlanjutan dan berterusan hingga ke akhirat kelak.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?