Tuesday, April 12, 2011

 

Agih ganjaran dengan seluruh warga sekolah

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu pengetua, guru besar dan guru cemerlang yang menerima Insentif Tawaran Baru di bawah Program Transformasi Kerajaan agar berkongsi ganjaran itu bersama seluruh warga pendidik dan kakitangan sokongan di sekolah masing-masing.

Presidennya, Hashim Adnan tentulah memikirkan nasib dan simpati dengan guru-guru kecil.

 

Komsas SPM 2011

aku terkejut apabila mendapat pekeliling baru. Sebenarnya, dari tarikh surat itu, ia bertarikh Januari 2011. Tapi aku baru dapat 8 April 2011. Apabila guru-guru yang pergi kursus guru cemerlang, pegawai kementerian dikatakan tidak mengetahui dengan jelas.

Dari pekeliling itu, peperiksaan SPM tahun ini tidak ada soalan tentang cerpen dan drama. Dahlah status novel Interlok jelas tak jelas. Kemudian novel Papa, akhirnya kau tewas jua... macam tak beres. Sabar jelah. Aku dah ajar dua novel ini bagai nak rak. Tetiba begini.

===========================
Papa... (Akhirnya Kau Tewas Jua) merupakan novel sastera remaja yang menjadi buku teks Komsas tingkatan empat di Malaysia mulai 2010.

Novel ini mengisahkan Intan Julia yang hidup bahagia dengan bapanya Jeffri(Papa)dan mamanya Intan Maliana serta pembantu rumah Mak Cik Noraini di Kelana Jaya.
Intan Julia berusia 16 tahun pada awal cerita dan bersekolah di SMK Seri Gading (Tingkatan 4), manakala mama bekerja sebagai guru Matematik di sekolah yang sama dan papa pernah menjadi guru Sains Pertanian di sekolah yang sama tetapi kemudiannya menjadi pensyarah Ekonomi di Kolej Ikhtisas. Sementara itu, Mak Cik Noraini ialah sepupu Jeffri. Dia kematian suami dan anak akibat kemalangan kereta dengan lori tangki semasa dalam perjalanan dari Johor ke Bidor, Perak sewaktu pulang berhari raya 17 tahun yang lalu.

Intan Maliana mengandung kali ke-2 kerana memenuhi keinginan papa yang mahukan anak lagi. Sebenarnya , Cikgu Suzie dan Mak Cik Noraini melarang Intan Maliana mengandung kerana 17 tahun lalu dia pernah pengsan / koma ketika melahirkan Intan Julia. Doktor terpaksa memerah susu kerana bayi itu (Intan Julia) enggan minum susu tepung. Intan Julia lahir tak cukup bulan, hanya 7 bulan sahaja. Mak Cik Noraini tak setuju tindakan Jeffri membeli dua katil bayi sebagai persiapan menyambut bayi anak kembar kerana menurut kata orang tua adalah tidak baik membeli barangan bayi terlalu awal.

Selepas SPM, Intan Maliana melahirkan anak kembar siam bernama Ahmad dan Muhamad di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras,Selangor. Walau bagaimanapun, anak-anak kembar ini mati dalam perut dan Intan Maliana koma selama 3 tahun. Jeffri membawa pulang isterinya dan dirawat di rumah sahaja .

Selepas SPM , Intan Julia belajar di Kolej Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor. Dia tinggal di asrama UIA dan papa keseorangan di rumah. Dia sesekali pulang ke rumah dan menjaga ibunya yang koma. Dia berkenalan dengan pelajar baru bernama Rasylan. Mereka selalu bersama ke perpustakaan, minum di Restoran Starbuck Coffee di Mid Valley dan restoran makanan segera. Dia terserempak dua kali dengan bapa dan Aisyah minum bersama.

Aisyah merupakan seorang gadis yang cantik, anak hartawan dan tinggal di Kelana Jaya. Dia merupakan pelajar Jeffri. Di selalu bermain tenis dengan Jeffri dan Intan Julia di Kelab sukan Kelana Jaya. Secara berseloroh Intan Julia menyuruh bapanya berkahwin dengan Aisyah.

Rasylan menasihati Intan Julia agar tidak membantah hasrat bapanya berkahwin dengan Aisyah. Jeffri pernah menampar Intan Julia kerana isu itu. Rasylan adalah anak zina antara pensyarah UIA, Muaz al khalibi dengan pembantu rumahnya warga Indonesia. Pembantu rumah itu balik ke Bandung dan meletakkan bayi itu di tepi jalan kerana malu tidak berbapa.

Muaz al khalibi telah pulang ke Jordan. Jabatan Kebajikan Masyarakat menyerahkan bayi itu kepada Datuk Mustakim yang tinggal di Taman Seri Andalas , Kelang.

Jefri melarang Intan Julia rapat dengan Rasylan kerana tidak ketahuan keturunannya. Rasylan menjadi anak angkat Datuk Mustakim . Dia tidak mendapat kasih sayang dan ditinggalkan di rumah sahaja. Rasylan ditinggalkan di rumah ketika keluarga Datuk Mustakim pulang ke kampung di Kuala Kangsar . Jeffri 'bermusuh' dengan Datuk Mustakim kerana ibu bapanya mati dilanggar oleh Datuk Mustakim. Atas rasa bersalah, Datuk mustakim memberi bantu kewangan kepada keluarga Jeffri.

Jefri melarang Aisyah masuk ke bilik isteri pertamanya Intan Maliana kerana bimbang Aisyah akan meracuni isteri pertamanya itu . Setelah 3 tahun koma dan terbaring di rumah, Mama boleh membuka mata. Mama terkejut apabila melihat Aisyah di sebelah suaminya. Mama meninggal dunia setelah mengetahui Jefri telah menduakannya dan Aisyah telahpun mengandung.


Friday, February 09, 2007

 

Alahai pendidikan Malaysia

Kebanyakan sekolah sekarang ini akan atau telah dibekalkan dengan sistem LCD iaitu alat tayang dari komputer. Untunglah mereka yang dapat tender membekalkan sistem LCD ini dengan jenama Panasonic kut. Hampir 20 set dibekalkan ke sekolah-sekolah.

Mereka yang akan menggunakannya ialah cikgu-cikgu sains dan matematik. Bilalah masa mereka hendak menggunakan LCD ini dengan sepenuhnya. Kekerapan mereka menggunakan komputer dan LCD yang telah dibekalkan dahulu masih pada tahap minima. Mereka ini dibayar elaun.

Cikgu-cikgu ini sepatutnya mahir dalam penggunaan komputer dan mencari bahan sampingan , gambar-gambar dan pandai ubahsuai menggunakan powerpoint dan lain-lain. Tapi aku tengok tak lah seperti yang sepatutnya.

Pada 10 Februari 2007 ( ?) guru-guru sains dan matematik dipanggil untuk menduduki ujian bahasa Inggeris. Mereka yang tak lulus akan dihantar semula ke sekolah. Kesian juga melihat guru-guru Melayu yang terkial-kial mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Dah lah cikgu-cikgu ini tak pandai berbahasa Inggeris. Mengajar sains dan matematik yang sukar difahami itu satu hal. Subjek itu pula hendak diajar dalam bahasa Inggeris pula. Haru biru dibuatnya. Rata-rata / 90 % guru tak boleh berbahasa Inggeris yang sepatutnya.

Murid apatah lagi. Hancur terus. Dahlah tak faham , nak tanya tak reti bertanya dalam bahasa Inggeris . Buat-buat faham sahajalah.

Aku memang suka kalau semua rakyat Malaysia ini berbahasa Inggeris dan pelbagai bahasa lain. Tapi dalam keadaan sekarang...... pening kepala dibuatnya.

Yang akan menjadi mangsa nanti ialah anak-anak kita. Anak-anak aku.

Semua jawatan dalam sektor swasta nanti akan dibolot oleh mereka yang boleh berbahasa Inggeris. Sektor kerajaan pun akan melakukan perkara yang sama.

Tanggunglah sendiri.

Sunday, February 13, 2005

 

Mengapa Kini Rakyat Malaysia Suka Membaca Buku

KEMPEN MEMBACA BUKU :RAKYAT MALAYSIA SEMAKIN RAMAI MEMBACA BUKU
Oleh Nordin Mohamed.PENDAHULUAN
Pada tahun lalu, dalam Majlis Karnival Membaca anjuran Perpustakaan Negara, Menteri Pendidikan pada ketika itu iaitu Tan Sri Musa Mohamad menyatakan bahawa masyarakat Malaysia sudah membaca dua buah buku setahun.
Jika senaskhah buku dipuratakan berjumlah 200 halaman, tentunya dua buah buku berjumlah 400 halaman. Ini bermakna masyarakat Malaysia sudah membaca 400 halaman setahun atau lebih satu halaman sehari. Pada saya, satu halaman sehari adalah pencapaian yang cemerlang.
Soalnya, apakah kita lihat masyarakat Malaysia hanya membaca 2 buah buku setahun atau satu halaman sehari! Soalnya ialah soal minda kita, samada kita melihat dari kacamata gelas yang separuh penuh ataupun gelas yang separuh kosong, samada kita melihat dari bawah tempurung atau dari mata burung, ini adalah soal yang penting kerana jika kita ingin memperdagangkan buku dengan jayanya, kita kenalah berbicara tentang soal minda kita sendiri.
Empat faktor pengeluaran yang utama ialah man, machine, material dan method. Kita ada mesin yang canggih, yang setanding dengan apa yang ada di luar negara. Kita menggunakan material yang sama dengan apa yang negara maju gunakan. Kita juga gunakan methodologi pengeluaran yang serupa dengan mereka. Bagaimana pun, faktor man atau manusia adalah faktor yang amat berbeza kerana ia bersangkut dengan minda. Faktor inilah yang ingin saya fokuskan dalam bentangan kertas kerja ini. 1. AKTIVIS BUKU: FIKIRLAH DENGAN KRITIS
ADA tiga persepsi mustahak yang perlu kita lihat kembali dengan kritis. Ini adalah kerana persepsi-persepsi ini telah diterimapakai oleh kita meskipun ia berunsur negatif.
Persepsi pertama ialah penerimaan terhadap istilah bookworm atau ulat buku yang diberikan kepada penggemar buku. Ini simpulan bahasa penjajah. Kita ambil dan terjemah sahaja menjadi ulat buku. Sesungguhnya istilah ini amat tidak sesuai diberikan kepada pencinta buku. Mana boleh seseorang yang menjadikan membaca sebagai santapan mindanya digelar ulat?
Jika kita terpandang ulat buku yang sebenar, kita tentu sekali akan melumatnya kerana ia merosakkan buku. Kenapa simpulan bahasa ulat buku ini diterima sedangkan perkataan ulat dalam bahasa Melayu biasanya membawa konotasi yang negatif? Mengapa pula sebaliknya mereka yang suka merewang di alam siber tanpa tujuan yang berfaedah kita berikan mereka nama khas lagi terhormat sebagai pelayar web?
Sebenarnya daripada sepuluh orang yang membuka internet, lima dari mereka hanya membuang masa. Sebaliknya daripada sepuluh orang yang membaca buku, mungkin hanya seorang sahaja yang melilau-lilau. Ini bukannya statistik, tetapi pengamatan. Pergilah ke kafe siber dan kemudian berkunjunglah ke gedung buku. Lihatlah sendiri golongan manakah yang sebenarnya yang patut dimartabatkan. Justeru itu, tidak bolehkah satu nama khas lagi terhormat seperti peluncur minda diberikan kepada pencinta buku?
Persepsi kedua ialah peribahasa Inggeris yang tidak relevan bagi dunia perbukuan. Peribahasa itu ialah, don’t judge a book by its cover. Maksud asal peribahasa itu memang baik. Malangnya peribahasa ini diterima pula oleh mereka dalam industri buku hingga beranggapan biarlah kulit buku tak cantik asalkan isinya bagus. Sebab itu jugalah banyak buku-buku kita tidak cantik kulitnya jika dibandingkan dengan buku-buku import kerana menganuti kepercayaan ini.
Saya sebagai orang buku tidak terima sama sekali peribahasa penjajah don’t judge a book by its cover. Sebagai orang buku saya beranggapan, ~ the person who said; don’t judge a book by its cover is certainly not a book publisher!
REKABENTUK kulit amat penting untuk melariskan buku. Buku yang mempunyai isi yang bagus tetapi mempamerkan kulit yang kedam tidak akan mendapat sambutan. Lagi gelap sesebuah kulit buku, lagilah gelap masa depannya. Mereka yang berada di dalam industri majalah sudah lama tahu akan hakikat ini. Sebab itulah jarang sekali majalah diterbitkan menggunakan warna hitam sebagai warna konsep kulitnya.
BUKU akan terus diperlukan selagi antara benda pertama yang dipegang oleh seorang kanak-kanak ialah sebuah buku dan bukannya sebuah komputer. Buku masih menjadi pilihan utama selagi jumlah jualannya mengatasi jualan e-book. Buku kekal menjadi raja selagi kita membeli buku melalui komputer, bukannya membeli komputer melalui buku.
Dua persepsi yang tersebut tidak boleh lagi ada dalam minda kita di dalam industri ini, tidak kira samada kita seorang penerbit, pengedar mahupun peruncit buku. Jika kita ingin orang lain meyakini bahawa buku adalah santapan minda yang amat berkhasiat, maka kita perlu mengubah persepsi yang dah lama kita anggap sebagai betul ini.
2. PENERBIT: GUNA STRATEGI PEMASARAN MUTAKHIR
INDUSTRI buku sudah ketinggalan dari segi pemasarannya kerana tidak buat apa yang industri lain buat. Penghebahan atas nama promosi, pengiklanan, pemasaran langsung, perhubungan awam mahupun event marketing adalah taktik yang amat penting sekali untuk menghampirkan buku kepada masyarakat. Inilah pemasaran. Dan pemasaran tidak boleh berhenti.
Jika minuman Milo yang rasanya tak berubah dari zaman lepas perang dunia pertama hingga hari ini pun, masih sentiasa dipromosikan; mengapa pula buku yang baru dilancarkan semalam tiada susulan promosi pada keesokannya? Pada hari ini produk seperti komputer, kereta atau selfon bahkan barangan asas seperti beras, telur asin dan ikan kering pun ditampal label dan kemudiannya dipromosikan secara moden. Mengapa kita tidak melihat apa yang berlaku di sekeliling?
SEBAGAI bahan karya juga buku jauh ketinggalan dalam pemasaran moden jika dibandingkan dengan genre pengkaryaan yang lain. Karya-karya yang bukan dalam bentuk buku sudah lama menggunakan pendekatan pemasaran mutakhir. Product awareness dilakukan secara hebat dan bertubi-tubi hinggakan jika kita tidak membelipun produk tersebut, kita tahu akan kewujudannya.
Kita ambil sahaja karya lagu. Kerana promosi yang menyeluruhlah maka kalaupun kita tidak meminati muzik, kita tahu akan adanya lagu yang pelik judulnya seperti Seksis, Babe atau Alhamdulillah. Karya dalam bentuk rancangan TV membuatkan kita tahu Majalah 3, Akademi Fantasia mahupun Edisi Siasat kerana program-program tersebut sentiasa diiklankan. Untuk filem sebagai penerbitan seluloid, program pemasarannya menjadikan kita tahu mengenai filem Janji Diana, Cinta Kolesterol ataupun Puteri Gunung Ledang kerana ia dipromosikan bagai nak rak.
JUSTERU itu, buku tidak boleh lagi hanya berseri dek kilauan lampu kamera di hari pelancaran. Selepas hari pelancaran, buku harus menjelma di poster-poster, muncul di kaca komputer, didengari di radio, terpampang di layar kaca dan layar perak. Pestabuku-pestabuku seharusnya mencabar kehebatan Sureheboh mahupun Fantasia Tour. Bara membaca harus terus ditiup. 3. PENULIS: MESTI PROLIFIK DAN TAMPILKAN DIRI
SEDARKAH kita bahawa golongan penulis makin terpisah dari arus perdana? Sebahagian besar dari kita di dalam dewan ini tentunya kurang setuju. Sebabnya...pada minggu lepas kita bersembang dengan penulis, baru semalam menonton mereka mendeklamasikan puisi, malah di saat ini kita menghadiri seminar bersama mereka. Mana mungkin golongan penulis terpinggir? Tentunya kita tak rasa penulis terketepi kerana kita sentiasa bersama mereka. Sebab... kita adalah aktivis buku yang tentunya rapik dengan mereka.
Tetapi, bagaimana dengan golongan petani, pesawah, penoreh getah, penarik beca, pekerja kolar biru, pekerja kolar putih, usahawan, saintis dan akitek? Apakah mereka kenal dengan golongan penulis? Kenal yang sebenar-benarnya kenal?
PADA hakikatnya mereka tahu gitu-gitu saja terhadap golongan penulis tapi tak betul-betul kenal. Kalau ada pun hanya ingat-ingat lupa. Sebaliknya di dalam minda orang ramai, ia penuh dengan ikon-ikon penyanyi, pelakon, ahli politik, ustaz, aktivis NGO, pemain bola dan DJ. Mengapa? Sebab... golongan ini sudah menjadi insan-insan yang sudah glamour. Wajah golongan ini memang sentiasa terpapar di layar minda mereka.
Golongan ini kerap muncul akhbar, di radio, dan di televisyen. Mereka ditemui secara live dan dirasakan berada di mana-mana kerana muncul di merata-rata hasil promosi yang amat meluas terhadap mereka. Penulis bagaimana?
Bukankah mereka ini adalah antara aset sumber manusia kepada negara? Mereka berperanan sebagai perakam, pencerita dan penterjemah tamaddun bangsa. Karya mereka adalah santapan rohani buat kita kerana mereka adalah petani minda kita.
KITA sebagai aktivis buku yang kenal dan rapat dengan golongan ini perlu mengetengahkan golongan penulis. Berikan ruang yang lebih luas, banyak dan kerap kepada mereka. Mereka tentunya tak kurang hebatnya dari penyanyi, pelakon, ustaz dan ahli politik. Pendek kata, mereka perlu diglamour dan selalu diiktiraf.
JIKA dalam dunia hiburan tempatan terdapat tidak kurang dari lima anjuran pesta anugerah, sudah sampai masanya kita mulakan sebuah majlis penganugerahan buku dan penulis yang menyeluruh, gah, uar dan glamour agar tempias kegemilangannya sampai ke telinga dan mata masyarakat. Ini akan memberi imej yang baik kepada penulis. Bila mereka glamour, barulah ramai orang kenal dan hendak membaca karya mereka. Akhirnya industri ini akan gemilang.
GOLONGAN penulis pula perlulah memperkenalkan diri melalui karya masing-masing. Ada karya, tentulah ada cerita yang boleh dikisahkan di akhbar. Siti Nurhaliza sudah bertahun-tahun kekal terkenal kerana melahirkan satu album satu tahun. Begitu juga dengan Datuk Yusof Haslam dengan satu tahun satu filem.
Jika penulis boleh mensasarkan satu buku satu tahun, minda anggota masyarakat juga yang akan lebih tajam dan peka kerana sentiasa diasah dan ditinting oleh penulis. Ini lebih baik dari sentiasa dikarat dan dikeruhkan dengan kisah gosip artis yang tentunya entah ia entahkan tidak.
DALAM pada itu, para penulis di Malaysia perlu sedar bahawa dalam dunia kreatif pada hari ini sesebuah karya itu bukan lagi hasil peribadi yang tak boleh disentuh langsung. Jika dalam dunia pengiklanan, sesebuah kopi satu para dalam sebuah iklan pun dirombak, diubah malah ditukar sama sekali kerana ia diteliti oleh tak kurang empat manusia yang lain.
Selain copywriter sebagai penulis asal, karya satu paranya juga diedit oleh Art Director, Creative Director, Designer dan klien sendiri. Justeru itu jika satu para tulisan kopi yang mempunyai kurang 150 perkataan ditangani oleh 5 manusia, mana mungkin sebuah buku yang mengandungi berpuluh ribu perkataan malah berjuta aksara itu tidak boleh diedit oleh para editor?
Pegangan sesetengah penulis bahawa jangan sentuh karya aku walau satu perkataan pun amat-amat ketinggalan zaman. Di barat, terdapat sub-industri yang dikenali sebagai book doctors. Kepada book doctors inilah para penulis menghantar karya mereka untuk disemak dan diperbetul. Setelah elok, baharulah si penulis menghantar karyanya kepada penerbit untuk dipruf oleh para editor.
4. EDITORIAL: JANGAN TAKUT DENGAN PENDEKATAN POPULAR
KEBANYAKAN para penerbit di negara ini mensajikan bahan penerbitan yang berat melalui pendekatan yang serius. Masih banyak buku-buku ilmiahnya mempunyai judul-judul yang berjela-jela. Ayat-ayatnya pula sukar difahami oleh pembaca. Ramai yang belum bersedia untuk menghidupkan buku dengan pendekatan popular melalui judul yang santai, rekaletak yang ceria dengan mempelbagai font untuk meringankan mata.
Mereka khuatir, pendekatan popular akan mengurangkan nilai ilmiah sesebuah buku. Apakah yang popular itu kurang standard? Sebenarnya apa pun produk popular itu terhasil kerana tuntutan industri.
Sebelum muncul revolusi industri pada kurun ke 17, semua barangan dibuat dengan tangan. Kerana itu setiap barangan yang dikeluarkan ketika itu hampir tidak sama antara yang satu dengan yang lain. Bila mesin tercipta, semua barangan dibuat serupa dan dapat disiapkan dalam masa yang lebih singkat untuk lebih ramai pengguna. Tentunya sesuatu ukuran seragam perlu dibuat supaya sesuai dengan ramai orang. Industri pakaian sebagai contoh; pada mulanya terdapat empat saiz manusia iaitu S, M, L dan XL. Kini timbul saiz XXL dan terkini triple-XL kerana ramai manusia yang semakin besar.
TENTUNYA bukupun boleh popular jika digarap mengikut selera seramai mungkin manusia, bukannya untuk sasaran pembaca yang khusus. Di barat, buku-buku seperti A Brief History of Time oleh Stephen Hawking, Business at the Speed of Light oleh Bill Gates dan In Search of Excellence oleh Tom Peters adalah sebenarnya buku-buku fizik, e-niaga dan pengurusan yang digarap melalui pendekatan popular. Melalui pendekatan itu, ia menarik seramai mungkin manusia untuk membacanya. Dengan itu, barulah ilmu yang berat dapat disampaikan kepada seramai mungkin khalayaknya. 5. PENGEDAR : CONTOHI INDUSTRI LAIN
JIKA kita rajin menyusurkan mata di dada akhbar, menonton TV, melihat internet dan memerhati di sekeliling, kita akan dapati bahawa terdapat terlalu banyak iklan-iklan produk yang dipamerkan bukan sahaja oleh pihak pengeluar, malah oleh para pengedarnya.
Belum banyak pengedar-pengedar buku yang berani mempertaruhkan wang bagi memasarkan buku-buku yang dijualnya. Kalau adapun, ia hanya tertumpu di premis masing-masing dan tidak meluas hingga ke luar bangunan pasaraya. Iklan-iklan di dada akhbar pula jarang ditempah bagi melariskan buku kecuali bila mereka menyambut ulangtahun.
Jika para pengedar industri lain boleh melakukan promosi hebat untuk melariskan jualan, tentu sekali para pengedar dalam industri buku perlu melakukan perkara yang sama. Sepatutnya mereka menjadi penganjur Pestabuku Malaysia sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Dari segi jangka panjang, pelaburan ini pasti akan berbaloi bila buku yang terus diperagakan mencapai tahap back-list.
DAN, tentunya para pengedar harus keluar dari kepercayaan bahawa lubuk duit hanya terdapat bila mengedar buku secara pukal ke perpustakaan-perpustakaan awam dan ke sekolah-sekolah. Jika ke situlah yang disasarkan, jumlah buku yang terjual tentunya sukar mengatasi lebih 10,000 naskhah.
Sebenarnya pasaran yang lebih besarlah yangterdapat di sektor peruncitan buku kerana masyarakat umum yang sebenarnya laparkan buku. Tanggapan bahawa mereka hanya gemar membaca bahan hiburan dan picisan adalah tidak benar sama sekali.
Congaklah berapa jumlah majalah hiburan dan picisan di kedai-kedai buku serta akhbar dan bandingkan dengan beratus-ratus buah majalah khusus mengenai permotoran, dekorasi, dandan diri, motivasi, komputer, agama, kewanitaan, fesyen, pendidikan, perdagangan dan pelancongan. Perbandingan kasar itu pun telah menunjukkan bahawa majalah hiburan hanya menjadi ulam dan bukannya santapan minda yang utama.
6. PERUNCIT: BIAR MESRA PELANGGAN
JIKA kita mengunjungi kedai minyak wangi, kita akan disembur dengan haruman oleh promoternya. Jika kita pergi ke kedai pakaian, kita akan sentiasa diekori oleh pekerjanya. Sebaliknya bila kita datang ke kebanyakan kedai buku, kita bagai tidak dipeduli. Pendek kata, pandai-pandailah membawa diri.
INI adalah cara pemasaran runcit yang pasif. Para peruncit haruslah memperlengkap anak buah masing-masing dengan product knowledge. Dengan itu para petugas di kedai-kedai buku akan mesra pelanggan seperti mana mereka yang bertugas di kedai mekap atau di restoran mamak.
BUKU yang dipamer di kedai-kedai juga sudah tidak boleh disusun mengiring seperti di perpustakaan. Tentunya ia tidak lagi boleh berhabuk atau melekat dengan tahi lipas atau sarang labah-labah. Sebaliknya ia harus diperagakan telentang, bersilang mahupun bertingkat-tingkat untuk menarik mata para pembeli. Lampu ‘lip-lap’ harus menyinari buku-buku bagi merangsang minat para pembeli.
KESIMPULAN
ENAM golongan yang terlibat secara langsung dalam industri buku sama ada aktivis, penerbit, penulis, editorial, pengedar dan peruncit mestilah mensemasakan pendekatan mereka dalam memajukan industri ini. Mereka harus memerhati sekeliling dan peka kepada segala perubahan industri lain agar tidak ketinggalan zaman. Buatlah apa yang orang lain dalam industri yang lebih maju buat. Kita tidak boleh lagi merasakan menjual buku adalah industri yang eksklusif dalam tembok gadingnya yang terasing dari industri lain.
Dengan cara ini anggota masyarakat akan tertarik untuk membaca. Harinya tidak lengkap tanpa sebuah buku; tak kenyang mindanya bila lama tidak membaca ~ sama seperti lapar di perut jika tak makan sehari.
PARA penggubal Dasar Buku Negara telah mentafsirkan industri buku sebagai industri ilmu dan industri budaya. Menanam pohon ilmu dan membina empangan budaya bukannya sekejap. Jika demikian, kita sebagai golongan yang berada di dalam industri ini mempunyai perjuangan yang amat panjang.
BAGAIMANA pun, perjuangan kita tidak mungkin selesai kerana mana ada perjuangan yang dah selesai? Kita sebenarnya tidak akan tahu bila kita akan sampai sehingga kita tiba.

Friday, February 11, 2005

 

Novel satira : Kawin-Kawin

Dalam novel karya Azizi Haji Abdullah,Kawin-Kawin - diterangkan secara nyata tentang kelemahan watak utama yang bernama Malang. Malang tersangat ingin berkahwin mut'ah dengan Mas Umm tetapi Muallim terlebih dahulu telah merembat Mas Umm. Malang dan kuncu-kuncunya memang selalu fitnah sana dan firnah sini hingga menjadi satu budaya dalam persekitaran politik Mas Umm. Untuk menguasai banglo milik Mas Umm caci maki , firnah dan pijak-memijak kepala menjadi amalan biasa.
Semua perkahwinan dengan janda bernama Mas Umm adalah secara mut'ah. Mut'ah adakah adat perkahwinan yang diamalkan oleh Syiah. Maksudnya boleh berkahwin sekejap dengan seseorang untuk melepaskan hawa nafsu dalam tempoh tertentu. Contohnya menikmati keseronokan berkahwin selama seminggu, sebulan, setahu dan sebagainya. Novel ini adalah novel satira yang sungguh mengasyikkan. Mas Umm dirujuk sebagai banglo UMNO. Semua orang ingin menguasai banglo itu kerana jika berada di situ, segala kemudahan dan kekayaan yang ada di dalamnya boleh difaraidkan untuk diri sendiri. Mas Umm sebagai seorang perempuan tidak ada kuasa. Dia lebih suka menyerahkan pengurusan banglo itu kepada suami yang dinikahinya secara mut'ah.
Malang mungkin merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin parti Semangat 46. Malang duduk di sebuah rumah yang berkeluasan 46 X 46. Muallim merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad yang enggan melepaskan banglo Mas Umm. Dia ingin menguasai Mas Umm dan banglo tersebut secara terus-terusan . Cara Muallim berkuasa cukup licik . Tokoh-tokoh sebelum juga mempunyai rekod yang tidak cukup baik.
Teman rapat Malang ialah Pak Wan. Pak Wan bolehlah dirujuk sebagai Tan Seri Rais Yatim. Pak Wan akhirnya telah membakar titi jambatan. Dia kemudian merajuk bila kalah dalam pertandingan untuk menguasai dan menduduki banglo Mas Umm . Pak Wan telah ke seberang laut dan menuntut ilmu pondok.
Buku rujukan utama mereka ialah Asraya iaitu sebuah perlembagaan negara dengan segala indang-undang ciptaan dunia. Buku ini dikarang oleh seorang yang cukup asing iaitu Dr Demo . Pakar rujuk mereka ialah Syeikh Hajjul Fatawa. Tetapi Hajjul Fatawa tidak punya kuasa apa-apa. Apa yang penting baginya ialah menjaga periuk nasi sahaja. dia akan mengubah nasihat dan hukum mengikut siapa yang mengusai Mas Umm. Hajjul Fatawa ini mungkin merujuk kepada Peguam negara atau para ulama kerajaan di Malaysia.
Akhirnya Malang telah berguru dengan Syeikh Yazan di negeri Seri Menurra. Syeikh Yazan ini dirujuk sebagai Tuan Guru Haji Nik Aziz bin Nik Mat. Tok guru ini digambarkan sebagai selekeh tapi berpegang teguh kepada prinsip membangun bersama Islam. Seri Menurra telah bertaubat dan mengamalkan cara hidup Islam yang syumul. Seri Menurra dirujuk kepada negeri Kelantan Daul Naim.
SYEIKH YAZAN DAN NIK AZIZ
Baru-baru ini Nik Aziz menyatakan dia tidak dapat menerima Islam Hadhari karangan dan ciptaan Pak Lah. Nik Aziz hanya dapat menerima Islam tulen sebagaimana yang dicanangkan oleh PAS di Kelantan. Hanya PAS di Kelantan dapat membangunkan ummah mengikut tatacara dan prinsip Islam yang betul sehingga masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di sana dapat menerimanya.
Akhir-akhir ini Nik Aziz sering keluar masuk hospital lantaran penyakit tekanan darah tinggi. Ahli Parlimen UMNO , Nik Min menyeru Nik Aziz meletakkan jawatan kerana dia telah tersangat uzur. Tapi Nik Aziz enggan meletakkan jawatan kerana perjuangannya belum selesai dan mahu memegang jawatan itu sehingga akhir hayat. Itulah dilaporkan dalam surat khabar perdana.
Pak Lah berkata , jika Islam Hadhari dilihat secara jujur dan ikhlas, ia bermaksud tamadun Islam atau Islam yang bertamadun. Dalam erti kata Islam yang mementingkan pembangunan dan sangat progresif.
Dahulu Anwar Ibrahim mencanangkan Islam Madani tapi kini slogan itu telah hilang dari bumi Malaysia dan kalau boleh dilupakan terus daripada pemikiran orang Melayu. Simpang malaikat 44 jika menyebut nama Anwar Ibrahim dan segala biji butirnya.
Bagi mencapai msyarakat Malaysia terutama masyarakat Melayu yang berbudi bahasa, hendaklah ditekankan oleh soal Islam . Nik Aziz sekali lagi mahu setiap umat Islam diingatkan tentang syurga dan neraka.Tidak cukup pelajar atau pesalah dingatkan tentang berdosa dan bersalah atau didenda sahaja. Mereka perlu dingatkan tentang syurga dan neraka. Sesungguhnya hidup di dunia ini akan berlanjutan dan berterusan hingga ke akhirat kelak.

Monday, February 07, 2005

 

Diari Bonda 4

Novel Dairi Bonda 4 nukilan Ruhani Din betul-betul mengumpat lelakinya dan amat bertentangan dengan kejiwaan wanita solehah. Dari permulaan novel hingga ke akhir , suaminya seorang polis pencen yang dungu dan asyik duduk di kerusi pak awang 24 jam dengan surat khabar di tangan. Ada ketikanya si suami akan ke bawah kolong bersembang dengan geng-geng tua tanpa sebarang tujuan .

Sebaliknya sang isteri iaitu Ruhanie Din cukup gah dan hebat. Dia ke sana- ke mari menyara dan menyambung kehidupan keluarga . Hampir tidak ada kebaikan dalam diri sang suami.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?